Ikhwan Muslimin Mesir secara jujur mengakui kemenangannya pada pemilihan Parlimen pertama negara itu yang diumumkan pada 21 Januari lalu bukanlah kerana kekuatan strategi yang disusun oleh pihaknya.
Malah, penyertaan Ikhwan dalam pilihanraya itu tanpa sebarang strategi dan hanyalah dengan menyerahkan kepada orang ramai untuk membuat pemilihan mengikut kehendak masing-masing
![]() |
| Naib Mursyidul Am Ikhwan Muslimin Mesir, Dr Gomaa Ameen |
Naib Mursyidul Am Ikhwan Muslimin Mesir, Dr Gomaa Ameen berkata, kemenangan pihaknya pada pilihanraya itu jelas tercapai hasil perpaduan dan keinginan rakyat untuk bersama-sama menjatuhkan pemerintahan kuku besi regim Hosni Mubarak.
Menurutnya, sebelum revolusi rakyat di Dataran Taharin pada 25 Januari tahun lalu, keseluruhan rakyat Mesir telah bersama-sama menzahirkan keinginan untuk menjatuhkan kerajaan Hosni Mubarak untuk digantikan dengan kerajaan lain yang lebih baik.
Katanya, dalam masa yang sama, rakyat Mesir ternyata lebih yakin dengan Ikhwan Muslimin untuk memimpin kerajaan baru yang diingini oleh mereka itu.
"Mereka sendiri lebih yakin dengan calon-calon Ikhwan Muslimin, sejajar dengan pendekatan-pendekatan yang diambil oleh Ikhwan yang diyakini lebih baik berbanding parti-parti lain," katanya ketika ditemui Harakahdaily dan Harakah cetak, di sini, malam semalam.
Keputusan akhir pilihanraya Parlimen pertama Mesir yang diumumkan pada 21 Januari lalu menepati ramalan pelbagai pihak dengan parti-parti beraliran Islam mencatat kemenangan dan menguasai dua pertiga kerusi Parlimen di negara itu.
Menurut Gomaa, perkembangan yang berlaku di Mesir sekarang tidak memerlukan pihaknya menyusun strategi tertentu untuk menghadapi pilihanraya kerana rakyat negara itu sendiri sudah berhasrat untuk melakukan perubahan.
Katanya, sebelum dihalang oleh Kerajaan Hosni Mubarak, Ikhwan Muslimin memang pernah terlibat dalam pilihanraya di Mesir dan rakyat juga sudah tahu tentang dasar-dasar perjuangannya untuk menegakkan Islam di negara itu.
"Jadi apabila revolusi rakyat tercetus, rakyat dengan sendirinya akan memilih parti Ikhwan Muslimin dan parti Islam kerana hanya parti Islam sahajalah yang diyakini mampu memberikan perubahan ke arah yang lebih baik seperti yang diingini oleh mereka sendiri," tegasnya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan