Isnin, 13 Ogos 2012

Ratapan Rohingya

Orang Rohingya terdiri daripada kalangan kaum Muslim yang tinggal di utara Rakhine (Barat Burma). Pertempuran antara majoriti penganut Buddha dengan minoriti kaum Muslim sering berlaku sejak dahulu lagi.




Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Rohingya adalah salah satu minoriti di dunia yang paling teruk ditindas. Elaine Pearson, Timbalan Pengarah bahagian hak asasi manusia Watch Asia telah berkata, 

“ Sudah bertahun-tahun berlaku diskriminasi, penyalahgunaan dan pengabaian terhadap Rohingya dan ia akan meletup pada satu masa nanti, dan itulah apa yang kita lihat sekarang”.

Bahkan, yang lebih menyedihkan kerajaan Burma telah mengklasifikasikan Rohingya sebagai ‘pendatang’ kepada Myanmar dan dengan itu tidak layak untuk menjadi warganegara Myanmar.


Plot Peristiwa Penganiayaan Rohingya

_______________________________________________28 Mei
Seorang wanita Rakhine (Buddha), Thida Htwe, berumur 28 tahun dirogol dan dibunuh oleh seorang lelaki Rakhine (Buddha) berhampiran kampung Maw Kyaut Ne dan kejadian itu disaksikan oleh dua orang Rohingya (Muslim).

Lelaki itu menyerah diri dan menyatakan dia bersubahat dengan 2 orang Rohingya itu, lalu polis menahan tiga suspek dan menghantar mereka ke penjara bandar Yanbyal. Perogol itu telah membunuh dirinya dalam lokap.

_________________________________________________________________________4 Jun
Perusuh dari etnik Rakhine menyerang bas di Taungup, tersilap mempercayai bahawa mereka yang bertanggungjawab untuk pembunuhan itu. Sedangkan yang berada di dalam bas ialah jemaah tabligh. Kerajaan bertindak dengan melantik seorang menteri dan ketua polis untuk mengetuai jawatankuasa penyiasatan.

________________________________________________10 Jun
Keadaan darurat telah diisytiharkan di seluruh Rakhine.

____________________________________________15 - 28 Jun

Tun Khin, Presiden Pertubuhan Burma Rohingya UK (BROUK), telah menyatakan bahawa pada 28 Jun, 650 Rohingya telah dibunuh, 1200 telah hilang dan lebih 80,000 telah dihalau.


Tentera Burma dan polis telah dituduh memainkan peranan utama dalam kezaliman terhadap Rohingya melalui tangkapan besar-besaran dan keganasan yang sewenang-wenangnya.

Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh juga mendakwa bahawa tentera Burma dan polis menembak kumpulan penduduk kampung dengan pistol.

Mereka takut untuk kembali ke Myanmar apabila Bangladesh menolak mereka sebagai pelarian dan meminta mereka untuk kembali ke Myanmar.






Sabtu, 11 Ogos 2012

RAMADHAN : Lailatul Qadar




Malam Lailatul-Qadar sunat dicari, kerana malam ini merupakan suatu malam yang diberkati serta mempunyai kelebihan dan diperkenankan doa oleh Allah S.W.T. Malam Lailatul-Qadar adalah sebaik-baik malam mengatasi semua malam termasuk malam Jumaat. Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Al-Qadr 97: Ayat 3.
Maksudnya:
"Malam Lailatul - Qadar lebih baik daripada seribu malam."
Ertinya menghidupkan malam Lailatul-Qadardengan mengerjakan ibadah adalah lebih baik daripada beribadah pada seribu bulan yang tidak ada Lailatul-Qadar seperti sabda Nabi S.A.W.:
Maksudnya:
"Sesiapa menghidupkan malam Lailatul-Qadar kerana beriman serta mencari pahala yang dijanjikan akan mendapat pengampunan daripada dosa-dosa yang telah lalu."
Diriwayatkan daripada Saiyidatina Aisyah R.A bahawa Rasulullah S.A.W apabila tiba 10 hari terakhir bulan ramadhan, Baginda menghidupkan malam-malamnya dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya. Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan:
Maksudnya:
"Rasulullah S.A.W berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam lain."
Malam Lailatul-Qadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil bulan Ramadhan. Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya:
"Carilah malam Lailatul-Qadar pada sepuluh akhir bulan Ramadhan dalam malam ganjil."
Pendapat yang terkuat mengikut para ulama' bahawa malam Lailatul Qadar terkena pada malam 27 Ramadhan. Menurut Abu Ka'ab katanya,
"Demi Allah sesungguhnya ibn Mas'ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatul-Qadar jatuh dalam bulan Ramadhan manakala Lailatul-Qadar pula terjatuh pada malam 27, akan tetapi dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya."
Daripada Riwayat Mu'awiyah:
Maksudnya:
"Bahawa Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda dalam malam lailatul-qadar iaitu malam ke 27."
Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah Al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir(hia) yang kembalinya kepada Lailatul-Qadar.
Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah Hadith daripada Ibn Umar R.A yang berbunyi:
Maksudnya:
"Sesiapa yang mencari Lailatul-Qadar, dia hendaklah mencarinya pada malam yang ke-27, carilah kamu malam Lailatul-Qadar pada malam yang ke-27. "
Aisyah R.A bertanya kepada Rasulullah, katanya:
"Ya Rasulullah S.A.W andainya aku mendapati malam Lailatul-Qadar, apakah doa yang patut aku bacakan? Rasulullah S.A.W berdoa dengan doa:
Maksudnya:
"Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, oleh itu berilah keampunan-Mu untukku."
- Petikan dari : FIQH & Perundangan Islam Jilid II : Wahbah al-Zuhaili : Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Isnin, 6 Ogos 2012

Agenda Individu Muslim Ramadhan


Ramadhan sudah mula memasuki fasa pentingnya iaitu 10 malam terakhir yang terkandung di dalamnya malam lailatul Qadr. Malam Lailatul Qadr merupakan malam yang sangat luar biasa dan merupakan antara rahmat agung daripada Allah SWT untuk hambaNya yang beriman.

   Melihat kepada senarai Agenda Individu yang direka khas untuk Profile Ku Lihat Hijau di Facebook, mampu memberi panduan sebagai kayu ukur tahap kualiti ibadah kita dalam Ramadhan kali ini.

   Qiamullail yakni tahajud sangat digalakkan dalam bulan Ramadhan ini. Amatlah rugi apabila malam hening di bulan Ramadhan yang penuh berkat ini hanya dibiarkan berlalu dengan tidur yang sepi. Tidur yang mati daripada mengharapkan keredhaan Allah SWT. Tidur yang hanya menantikan sahur semata sebagai bekalan untuk berpuasa pada esok harinya. Jadikanlah qiamullail kita dalam bulan Ramadhan kali ini merupakan medium terbaik untuk kita kembali memulihkan hubungan kita dengan Allah SWT.

   Pada pandangan para sufi yang benar-benar akrab dengan Allah SWT berpendapat bahawa jika kita tidak mampu untuk bangun qiam walaupun sekurang-kurangnya untuk menunaikan solat sunat tahajud 2 rakaat, ia adalah petanda bahawa diri kita sudah terbelenggu dengan dosa. Jangan menganggap bahawa bulan Ramadhan menjamin kesucian diri kita daripada terjebak dengan dosa. Mujahadah itu perlu sentiasa ditingkatkan, agar redha-Nya sentiasa dalam kehidupan.

.: Tiada istilah terlambat dalam melakukan kebaikan biarpun tinggal hanya beberapa saat sebelum Ramadhan meninggalkan kita. Namun, tingkatkanlah mujahadah kita sentiasa supaya istiqomah dalam setiap amal perbuatan :.