Rabu, 22 Februari 2012

PAS Tidak Khianati Palestin

30 Rabi'ul Awal 1433 H | 23 February 2012 

Pertemuan Al-Mursyidul Am PAS, YAB Datuk Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Ketua Umum KeADILan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah berlangsung pada 21 Februari 2012, jam 9.30 pagi bertempat di PNB Darby Park adalah bertujuan untuk membuka ruang penjelasan kepada Anwar berhubung kenyataannya dalam Wall Street Journal pada penghujung Januari lalu.

Seperti yang ditegaskan Mursyidul Am PAS, PAS sekali lagi ingin menegaskan pendirian parti bahawa kita tetap bersama rakyat di Palestin yang berjuang bagi mendapatkan balik hak negara mereka yang telah dirampas oleh rejim Israel.

Keselamatan rakyat Palestin tetap menjadi agenda utama, kerana nyawa, harta dan tanah air mereka terus diganyang oleh Israel. Justeru semua pihak perlu memberi jaminan keselamatan kepada rakyat Palestin dari kebiadaban rejim Israel.

Sekali lagi ditegaskan, bagi PAS apa jua perancangan masa depan negara Palestin hendaklah mengambil kira pendirian Hamas yang telah menerima mandat rakyat.

PAS juga menolak road map yang ditaja oleh kuasa Barat dan mana-mana pihak yang terlibat, yang sedang memaksakan penyelesaian road map ke atas Palestin dan seluruh dunia.

Maka PAS bersama tangisan, air mata dan derita rakyat di Palestin bagi memperjuangkan sebuah negara merdeka.

PAS mengecam tindakan bermuka-muka kerajaan Barisan Nasional yang berterusan berurusniaga atau menjalin apa saja hubungan dengan rejim Israel, ketika mana rakyat di Palestin terus dibunuh dan ditekan.

PAS Tetap Tidak Mengiktiraf Negara Haram Israel.

29 Rabi'ul Awal 1433 H | 22 Februari 2012

Pagi kelmarin, sekitar jam 9.30, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah datang menemui saya. Tujuannya adalah untuk menjelaskan maksud kenyataannya berhubung ‘keselamatan Israel’ yang disiarkan oleh Wall Street Journal pada Januari lalu.

Mungkin juga beliau datang setelah mengetahui keputusan Majlis Syura Ulama’ PAS minggu lepas yang menggesa beliau menarik balik kenyataan dalam Wall Street Journal itu yang difahami sebagai menyokong Israel.

Majlis Syura Ulama’ juga menggesa, sekiranya kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka beliau dinasihatkan agar mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Wall Street Journal bagi membersihkan nama.

Pada pertemuan itu saya ditemani oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man. Ia berlangsung dalam suasana harmoni. Datuk Seri Anwar telah menjelaskan kesemua isu yang telah berbangkit.

Memahami penjelasan Datuk Seri Anwar, di sini saya mengulangi pendirian PAS sebagaimana diputuskan oleh Majlis Syura Ulama’, iaitu PAS sekali-kali tidak mengiktiraf negara haram Israel. Maka PAS tetap istiqamah menyokong perjuangan rakyat Palestine yang dihina di bumi sendiri. Terserahlah kepada Datuk Seri Anwar untuk menerima pendirian PAS ini.

Bagi saya, pendirian PAS adalah wajar kerana kewujudan negara haram Israel merupakan suatu kezaliman, tanpa peri kemanusiaan dan menafikan hak umat Islam, malah merampas hak seluruh rakyat Palestine. Tambahan pula, tindakan penguasa Israel yang tidak habis-habis menzalimi dan membunuh rakyat Palestine, termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua. Justeru, adalah haram menerima kewujudan negara Israel yang haram.

Pada saya, Datuk Seri Anwar memahami pendirian PAS yang tidak mengiktiraf negara Israel dan menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestine. Oleh kerana itu tidak berbangkit PAS telah menggadai prinsip perjuangan tatkala bersama Pakatan Rakyat. Apa pun saya yakin, pihak Pakatan Rakyat tetap sepakat dalam menyokong perjuangan rakyat Palestine untuk membebaskan tanah airnya daripada cengkaman Israel yang zalim itu.

Justeru pada saya, adalah haram bersekongkol dengan pihak Israel dalam apa bentuk hubungan sekalipun.

Nik Abdul Aziz Nik Mat.
PNB Darby Park, Kuala Lumpur.
29 Rabi'ul Awal 1433 H | 22 Februari 2012.

Kapal Israel Wajah Sebenar UMNO-BN


Kehadiran dua buah kapal dagang milik rejim Israel, Zim Atlantic dan Zim USA ke Westport, Pelabuhan Klang pada 16 Februari lalu benar-benar mengejutkan seluruh rakyat negara ini sehingga memperlihatkan wajah sebenar Umno BN di mata orang ramai.

Dewan Ulama PAS Pusat sehubungan itu menuntut Kerajaan Malaysia segera membuat penjelasan mengenai kedudukan sebenar perkara itu kepada rakyat.

Setiausahanya, Dr Khairuddin Aman Razali berkata, umat Islam yang cintakan akhirat sewajarnya tidak menjalin sebarang bentuk kerjasama dan perhubungan sosial atau ekonomi dengan mereka yang melakukan kezaliman sama ada kezaliman itu dilakukan oleh orang Islam sendiri atau bukan Islam.

"Negara haram Israel telah menzalimi umat Islam Palestin dalam tempoh yang panjang dengan merampas tanah air mereka dan membunuh ratusan ribu umat Islam," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Menurut Khairuddin, sebarang kerjasama sosial dan politik dengan mereka yang terang-terang melakukan kezaliman adalah satu keredhaan terhadap kezaliman.

Katanya, Allah berfirman dalam surah Hud ayat 113 bermaksud: "Dan janganlah kamu cenderung hati terhadap orang-orang yang zalim, pasti kamu disentuh oleh api neraka."

"Jadi, sekiranya benar laporan yang menyatakan kapal-kapal yang dimiliki sebuah syarikat yang didakwa dikuasai oleh kerajaan Israel mempunyai akses bebas ke Westport, Pelabuhan Klang, ia memang benar-benar melukakan hati majoriti rakyat Malaysia beragama Islam," katanya lagi.
Baru-baru ini sebuah NGO, Jingga 13 mendedahkan pihaknya telah mendapat bukti jelas bahawa hubungan antara Kerajaan Malaysia dan rejim Israel telah wujud walaupun pemimpin Umno menafikan wujud hubungan dagang tersebut. 

Ianya terbukti dengan kehadiran dua buah kapal, Zim Atlantic dan Zim USA yang telah berlabuh di Westport, Pelabuhan Klang pada 16 Februari lalu yang dimiliki oleh ZIM Integrated Shipping Services Ltd hak milik rejim Israel.

"Kehadiran ZIM USA yang sebelum ini didaftarkan di Haifa, Israel pada 25 Oktober 2010 dan kini didaftarkan di Republic Of Liberia pada 2 Februari 2012 dan ZIM Atlantic yang turut didaftarkan di Republic Of Liberia adalah milik Israel melalui Israel Corporation dengan pegangan saham sebanyak 98 peratus iaitu salah satu syarikat besar dimiliki oleh Israel," jelas Koordinator Jingga 13, Fariz Musa 

Selamatkan SYRIA

KUALA LUMPUR, 18 Feb: Dewan Ulamak PAS Pusat menyokong penuh resolusi mengecam pelanggaran hak asasi manusia di Syria dan menggesa agar Presiden Bashar al-Assad meletakkan jawatan yang dikemukakan oleh Mesir kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan disokong oleh 137 negara.

Justeru, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dr Khairuddin Aman Razali At-Takiri menggesa umat Islam melakukan Qunut Nazilah dalam solat-solat mereka mendoakan kemenangan bagi pejuang Islam di Syria yang menentang kezaliman.

“Serta berdoa agar Allah Taala menurunkan hukuman selayaknya di dunia terhadap pemerintah yang zalim,” ujarnya.

Mengulas perkembangan terkini yang berlaku di Syria yang menyaksikan penyembelihan rakyat yang tidak berdosa oleh rejim Bashar, beliau berkata, kezaliman itu telah mencapai kemuncaknya sejak 8 bulan lalu yang menyaksikan pembunuhan ribuan rakyat yang tidak bersenjata.

Menurut laporan Al Arabiya.net, serangan tentera Syria yang telah masuk hari ke 13 menggunakan peluru berpandu dan kereta kebal terhadap rakyatnya di bandar Hims telah membunuh 678 orang Islam termasuk kanak- kanak di samping menghancurkan sepenuhnya puluhan bangunan.

Satu laporan menjelaskan sejak kebangkitan di bandar Hims pada bulan Mac 2011 seramai 3,370 penduduk Hims telah dibunuh. Jumlah yang terbunuh dicampur dengan bandar-bandar lain sehingga kini melebihi 8,380 orang.


Majlis Fatwa Respon Fatwa Harussani

SHAH ALAM - Datuk Dr Ismail Ibrahim meminta Majlis Fatwa Kebangsaan menyatakan pendiriannya berhubung kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang berpandangan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah “menggadai akidah” apabila menghadiri sambutan Thaipusam, Selasa lalu.

Bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan ini berkata, jawapan rasmi terhadap "fatwa" dibuat Harussani harus disegerakan kerana ia mungkin mengelirukan umat Islam jika tidak dimuktamadkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan seterusnya disahkan Majlis Raja-raja sendiri.

Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia berkata, isu seberat ini tidak mungkin dilihat sebagai satu perselisihan pendapat atau perbezaan pandangan sahaja seperti perbezaan pentafsiran dalam hal-hal ranting dalam agama Islam.

"Hal akidah bukan lagi merupakan masalah kecil seperti masalah perbezaan mazhab dalam beberapa hukum cabang yang dikenali sebagai masalah Furu' bukan masalah usul. Hal akidah adalah merupakan hal iman, Islam seseorang," kata beliau dalam entri terbaru blognya.

Ismail yang yang juga bekas duta Malaysia ke Arab Saudi berkata, beliau tidak berniat hendak menyokong atau membangkang kenyataan Mufti Perak yang mengatakan bahawa Perdana Menteri telah menggadaikan akidahnya dengan  menghadiri perayaan Thaipusam.

Justeru soal beliau, "menggadai akidah adakah bermakna mencemarkan akidah? Menggadaikan akidah adakah bermakna terkeluar dari akidah Islam, dan seterusnya menjadi syirik?"

Katanya, "kalau inilah maksud menggadaikan akidah yang disebutkan oleh Mufti Perak itu, maka hal ini telah menjadi satu fatwa yang amat berat dan serius kepada umat Islam, terutamanya kepada batang tubuh Perdana Menteri sendiri, dan pihak bertanggungjawab tentang agama di negara kita haruslah memberikan perhatian yang serius juga kepada fatwa ini."

Tambah beliau, hal yang berhubung dengan akidah bukan perkara mudah kerana akidah merupakan keimanan kepada agama Islam itu sendiri dan akidah yang tergadai sekiranya dimaksudkan akidah yang telah tercemar atau terkeluar dari akidah Islam, maka orang itu dengan sendirinya menjadi tidak mukmin dan tidak Islam, syirik dan kafir.

"Apakah pengertian ini yang dimaksudkan oleh Mufti Perak dengan ungkapan menggadaikan akidah itu? Juga kenyataannya tentang perbuatan syirik yang dilakukan oleh Perdana Menteri itu," ujar beliau.

Malah katanya, hal itu perlu diperjelaskan supaya umat Islam tidak menjadi keliru dengan fatwa Mufti Perak tentang orang Islam yang menyertai perayaan tersebut.

"Mungkin Jakim, Majlis-majlis Agama Negeri, Majlis Fatwa Kebangsaan, malah Raja-raja Melayu sendiri sebagai Ketua Agama Negeri perlu segera mengambil tindakan bagi membincangkan fatwa Mufti Perak ini dan memberikan keputusan yang muktamad dalam isu ini," katanya lagi.

Jumaat, 10 Februari 2012

PAS Tidak Sokong Negara Haram Israel


Bumi Palestin dimuliakan sejarahnya oleh Nabi Ibrahim A.S. Bapa kepada para nabi selepasnya yang diiktiraf oleh semua penganut agama samawi. Nabi Muhammad  S.A.W. dilahirkan daripada zuriatnya yang dihantar ke Makkah, yang dianugerah Allah kepada Ibrahim A.S. kerana jasa perjuangannya yang besar menentang syirik dan zalim oleh kuasa terbesar dunia dizamanya iaitu kerajaan Babylon yang diperintah oleh Raja Namrud.

Bumi Palestin adalah salah satu daripada tiga tanah suci bagi umat Islam, selepas Makkah yang dibuka oleh Ibrahim A.S. dan Madinah tempat Hijrah Rasulullah S.A.W. Palestin dimuliakan  kerana ramainya para Rasul dilahirkan di situ dan berpijak di atasnya  kaki para anbiya’  dan banyak darah para syuhada daripada kalangan Nabi dan ulama, kerana dibunuh oleh bangsa Yahudi  dengan zalimnya, menyebabkan mereka dilaknat Allah sehingga hari Qiamat. Allah juga menjadikan kiblat pertama bagi umat Islam di bumi Palestin. Di sini juga tampat berakhirnya  Isra’ dan bermulanya Mikraj Rasulullah S.A.W. ketika dijemput menjadi tetamu Allah. Maka  yang layak memakmurkan Palastin ialah  mereka yang beriman dan budiman.

Agama Islam mewajibkan penganutnya memegang amanah memelihara bumi Palestin dan tidak melarang  penganut Yahudi dan Kristian melakukan ibadat mengikut agama mereka dan mengunjungi tempat suci mereka. Sejarah membuktika hanya pemimpin Islam sahaja dapat menunaikan amanah memakmurkan bumi Palestin dengan memberi hak yang adil kepada semua.

Kejayaan tentera Islam di zaman Khalifah Umar bin Al Khattab R.A. membebaskan Palestin daripada penjajahan Romawi disambut oleh Paderi besarnya dengan meminta Khalifah Umar  datang menyaksikannya. Maka Khalifah Umar datang sehingga mengunjungi gereja besarnya, kemudian dimeteraikan perjanjian yang memberi hak yang adil kepada semua, kerana selama ini penjajah Romawi Byzantin yang beragama Kristian  mazhab Ortodok, tidak melayani mereka yang tidak semazhab dengannya dan kerajaan Yahudi pula menzalimi mereka yang tidak seagama dengannya. Hal yang sama berlaku dalam era kelemahan kerajaan Islam, sehingga tentera salib menakluk Palestin. Keadaan  menjadi baik semula, setelah Sultan Salahuddin Al Ayyubi daripada bangsa Kurdis dapat mengalahkan tentera Salib yang zalim dan membebaskan semula bumi Palastin. Lalu melayani semua pengunjungnya dengan adil.

Di zaman mutakhir, malapetaka menimpa bumi Palestin dengan memuncaknya keganasan, setelah Palestin dirampas dengan ganas oleh penjajah Barat yang menyimpan dendam terhadap Islam dan mengambil kesempatan daripada kelemahan umat  Islam Arab yang memperkecilkan Islam dan membesarkan kebangsaan Arab sehingga melebihi Islam dan mengatasinya. Dalam pembahagian tanah air yang dijajah di kalangan penjajah barat, maka Palastin jatuh ke dalam bahagian penjajahan British. Perjanjian Balfore dimeteraikan di antara pemimpin Zionis Yahudi dangan Menteri Luar British, Lord Balfore bagi menyerahkan bumi Palastin kepada golongan Zionis untuk mendirikan negara kebangsaan Yahudi dinamakan Israel. Kalangan penganut mazhab Ortodok Yahudi menentangnya dan memberi amaran bahawa tindakan ini bercanggah dengan ajaran mereka dan boleh menguburkan bangsa Yahudi. Kalangan sekular yang memisahkan agama Yahudi daripada politik melakukan kesalahan besar ini,  semata-mata menegakkan semangat kebangsaan dengan alasan sejarah bohong, bagi negara agung Israel yang pernah dipimpin oleh Nabi Sulaiman A.S. sehingga  menakluk dunia.

Negara bernama Israel sebenarnya tidak wujud dalam peta dunia sejak Allah mencipta bumi. Negara ini diwujudkan secara haram oleh kuasa besar dunia selepas perang dunia kedua, bagi mengotakan perjanjian Balfore  yang melibatkan British yang dibantu oleh zionis Yahudi, sejak  perang dunia pertama lagi. Negara ini hukumnya haram mengikut hukum agama dan undang-undang antarabangsa ciptaan manusia. Ini kerana ia merampas daripada penduduk asalnya dan menghalau sebahagian besar daripada mereka. Negara kuasa besar dunia yang menjajah memejam mata bagi menghilangkan sifat perikemanusiaan mereka untuk melakukan jenayah bersejarah ini demi kepentingan mereka. Bahkan sebahagian pemimpin negara itu dibantu oleh wang dan media golongan zionis untuk berkuasa.

Dalam pertarungan politik dan ekonomi antarabangsa yang didalangi oleh kuasa besar dunia pula, menjadikan negara haram Israel rakan strategik untuk menjaga kepentingan mereka dirantau paling banyak membekalkan sumber tenaga kepada dunia, dan juga bertindak menjadi polis bagi pihak Barat terhadap dunia Islam.

Perkara ini ditambah lagi dengan sikap tidak saksama negara besar  yang menghalalkan negara haram Israel  memiliki senjata pemusnah yang diharamkan kerana tanpa perikemanusiaan. Israel sudah membinanya sejak tahun enam puluhan lagi dan menghalang dengan apa cara sahaja bagi melindungi jenayah kemanusiaan yang dilakukannya. Walaupun melalui badan antar bangsa yang paling besar dan berpengaruh, sehinggalah menggunakan kuasa veto paling zalim.

Bagi umat Islam sudah menjadi perkara wajib membebaskan Palestin sepenuhnya dan membela saudara mereka yang dizalimi, sehingga menjadi fardu ain kepada penduduk tempatan dan yang berjiran dan wajib mengikut kedudukan masing-masing di tempat yang jauh. Haram menerima kewujudan negara haram. Maka PAS yang berdasarkan Islam menolak penyelesaian wujud dua negara, satu untuk rakyat Palestin dan satu lagi bernama Israel untuk Yahudi Zionis. Bagi kami, hanya satu negara Palestin sahaja bagi penduduknya yang berhak.

Walau pun banyak kalangan negara Arab menerima penyelesaian secara mewujudkan dua negara, ketahuilah bahawa Palestin bukan hak orang Arab sahaja. Palestin adalah hak umat Islam seluruhnya. Kalangan penganut agama Yahudi yang kuat berpegang dengan agama Yahudi menolak wujudnya negara Israel dan menghukumnya dosa besar kerana tindakannya adalah menggali kubur untuk kaum Yahudi  sendiri, yang disedari melakukan jenayah dosa besar, membasahi bumi Palastin dengan darah para anbiya dan ulama yang soleh.

Bagi Penganut Islam, bacalah firman Allah dalam beberapa surah. Di antaranya firman Allah:
وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ وَالْمَسْكَنَةُ وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِنَ اللَّهِ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِآَيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ النَّبِيِّينَ بِغَيْرِ الْحَقِّ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ (61 ) البقرة.
61.  Lalu ditimpahkanlah kepada mereka nista dan kehinaan, serta mereka mendapat kemurkaan dari Allah. hal itu (terjadi) karena mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi yang memang tidak dibenarkan. demikian itu (terjadi) karena mereka selalu berbuat durhaka dan melampaui batas.
Firman Allah:
إنَّ الَّذِينَ يَكْفُرُونَ بِآَيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ النَّبِيِّينَ بِغَيْرِ حَقٍّ وَيَقْتُلُونَ الَّذِينَ يَأْمُرُونَ بِالْقِسْطِ مِنَ النَّاسِ فَبَشِّرْهُمْ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ (21) أُولَئِكَ الَّذِينَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآَخِرَةِ وَمَا لَهُمْ مِنْ نَاصِرِينَ (22 ) آل عمران .
21.  Sesungguhnya orang-orang yang engkar kepada ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi yang memang tak dibenarkan dan membunuh orang-orang yang menyuruh manusia berbuat adil, maka gembirakanlah mereka, bahawa mereka akan menerima siksa yang pedih.
22.  Mereka itu adalah orang-orang yang lenyap (pahala) amal-amalnya di dunia dan akhirat, dan mereka sekali-kali tidak memperoleh penolong.

Bagi penganut Islam yang mendirikan solat lima waktu yang diwajibkan, memanjatkan doa pada tiap-tiap rakaat sembahyangnya supaya dijauhkan bersifat golongan yang dimurkai Allah, maksudnya seperti golongan Zionis Yahudi tersebut.



Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS

Hasan Ali sebagai Iktibar

Isu pemecatan Hasan Ali yang pernah menjadi kontroversi hangat arena politik negara seolah-olah mengundang 'fenomena Hasan Ali' di media massa yang pro kepada kerajaan yang zalim dalam pentadbirannya.

Yang jernih itu diambil, yang keruh itu dibuang. Namun, jangan dibuang terus kerana tanpa mengetahui punca kekeruhan itu pastinya mengundang perkara yang sia-sia jika berulang kembali peristiwa sama.


Isu pemecatan Hasan Ali oleh PAS Pusat ialah berikutan tindakannya yang mempertikaikan dasar perjuangan PAS. Dasar perjuangan PAS itu bukanlah sekadar ayat biasa malah ia mempunyai kandungan yang penuh amanah. Dasar PAS itu perlu benar-benar difahami oleh para pendokongnya. Kesilapan boleh berlaku apabila kita tidak benar-benar memahami sesuatu dasar itu kemudian dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan berdasarkan pemikiran sendiri tanpa berbincang terlebih dahulu dengan pimpinan yang berada di atas. Itulah yang dilakukan oleh Datuk Hasan Ali,  Exco Kerajaan Negeri Selangor.

PAS bukanlah sekadar parti politik malah merupakan suatu jemaah Islam yang bergerak memperjuangkan Islam secara syumul (keseluruhan) kepada seluruh rakyat Malaysia. Syura & wala' (taat) pada pimpinan merupakan antara intipati yang menjadi pelengkap perjuangan PAS.


Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Said bin Musayyab daripada Ali bin Abi Talib r.a berkata. Bermaksud: "Aku berkata dengan Rasulullah s.a.w apabila terjadi sesuatu perkara kepada kami sedangkan al-Quran tidak menerangkan tentang perkara tersebut, begitu juga al-Sunnah tidak menjelaskanya. Lalu Rasulullah s.a.w. menjawab;
اجمعوا له العالمين. او قال: العابدين من المؤمنين فاجعلوه شورى بينكم ولا تقضوا فيه براى واحد
Kumpulkanlah orang-orang yang alim di kalangan mukmin agar mereka bermesyuarat bersama kamu dan jangan sekall-kali kamu berhukum dengan satu pandangan sahaja.

Datuk Hasan Ali pernah meminta maaf kepada pimpinan PAS bersaksikan Tuan Guru Nik Aziz selaku Mursyidul Am PAS, Datuk Haron Din selaku Timbalan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS. Namun, kesalahan sama terus berulang apabila dirinya terus-terusan mengeluarkan kenyataan yang membelakangi kepentingan parti.


Sesiapa yang ingin masuk dan menjadi akh yang menyertai harakah, maka hendaklah menghormati sistem dan peraturan. Ini satu perkara yang mudah untuk difahami. Sesiapa saja yang menyertai mana-mana kelab, syarikat atau persatuan, dengan sendirinya tertakluk kepada peraturan dan sistem institusi tersebut. Jika ia tidak menghormati peraturan maka hukuman atau denda yang setimpal akan dikenakan. Bahkan ahli politik yang mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan idealisme dan pemikiran partinya akan berhadapan dengan tindakan jawatankuasa disiplin. Itulah antara pandangan Imam Hassan Al-Banna yang mengatakan bahawa kita wajib untuk menghormati sistem & peraturan yang ditetapkan dalam jemaah.

Ahad, 5 Februari 2012

Perundangan Islam Terus Tegak

Berikutan kemenangan Ikhwan Muslimin di Mesir, sistem perundangan Islam terus akan ditegakkan kerana rakyat sendiri sudah sedia maklum bahawa perjuangan Ikhwan Muslimin adalah untuk menegakkan Islam di Mesir.



Dr Gooma sendiri mengatakan bahawa pengasas Ikhwan Muslimin iaitu As Syahid Imam Hassan Al Banna sendiri telah menetapkan asas perjuangan Ikhwan Muslimin untuk menegakkan sistem perundangan Islam dan matlamat itu akan diteruskan oleh pemimpin Ikhwan Muslimin sepanjang zaman. Buat masa sekarang mereka akan menggunakan pendekatan berdasarkan keutamaan kerana perundangan Islam tidak hanya terhad kepada hukum hudud.

Pendekatan awal Ikhwan Muslimin akan ditekankan kepada cara hidup rakyat dan bidang pendidikan agar selaras dengan kehendak Islam. Setelah rakyat didedahkan dengan cara hidup yang betul dan pendidikan secara menyeluruh, individu Muslim itu dapat dibentuk dalam kalangan rakyat Mesir sendiri. Pendekatan itu juga akan dijalankan pada semua peringkat rakyat lelaki mahupun perempuan.

Kemenangan Ikhwan Muslimin ialah fasa pertama perjuangannya menunjukkan hasil penerimaan rakyat terhadap perjuangan mereka. Fasa kedua yang menyusul ialah sistem perundangan Islam yang ditegakkan melalui penggubalan undang-undang mengikut undang-undang Islam pada persidangan parlimen nanti.

Dr Gooma hadir ke Malaysia atas undangan Majlis Penyelarasan Gerakan Islam Sedunia yang bersidang di Kuala Lumpur dari 31 Januari hingga 1 Februari 2012.

Ikhwan Muslimin Menang Kerana Perpaduan

Ikhwan Muslimin Mesir secara jujur mengakui kemenangannya pada pemilihan Parlimen pertama negara itu yang diumumkan pada 21 Januari lalu bukanlah kerana kekuatan strategi yang disusun oleh pihaknya. 

Malah, penyertaan Ikhwan dalam pilihanraya itu tanpa sebarang strategi dan hanyalah dengan menyerahkan kepada orang ramai untuk membuat pemilihan mengikut kehendak masing-masing  


Naib Mursyidul Am Ikhwan Muslimin Mesir, Dr Gomaa Ameen

Naib Mursyidul Am Ikhwan Muslimin Mesir, Dr Gomaa Ameen berkata, kemenangan pihaknya pada pilihanraya itu jelas tercapai hasil perpaduan dan keinginan rakyat untuk bersama-sama menjatuhkan pemerintahan kuku besi regim Hosni Mubarak.

Menurutnya, sebelum revolusi rakyat di Dataran Taharin pada 25 Januari tahun lalu, keseluruhan rakyat Mesir telah bersama-sama menzahirkan keinginan untuk menjatuhkan kerajaan Hosni Mubarak untuk digantikan dengan kerajaan lain yang lebih baik.

Katanya, dalam masa yang sama, rakyat Mesir ternyata lebih yakin dengan Ikhwan Muslimin untuk memimpin kerajaan baru yang diingini oleh mereka itu.

"Mereka sendiri lebih yakin dengan calon-calon Ikhwan Muslimin, sejajar dengan pendekatan-pendekatan yang diambil oleh Ikhwan yang diyakini lebih baik berbanding parti-parti lain," katanya ketika ditemui Harakahdaily dan Harakah cetak, di sini, malam semalam.     

Keputusan akhir pilihanraya Parlimen pertama Mesir yang diumumkan pada 21 Januari lalu menepati ramalan pelbagai pihak dengan parti-parti beraliran Islam mencatat kemenangan dan menguasai dua pertiga kerusi Parlimen di negara itu.

Menurut Gomaa, perkembangan yang berlaku di Mesir sekarang tidak memerlukan pihaknya menyusun strategi tertentu untuk menghadapi pilihanraya kerana rakyat negara itu sendiri sudah berhasrat untuk melakukan perubahan. 

Katanya, sebelum dihalang oleh Kerajaan Hosni Mubarak, Ikhwan Muslimin memang pernah terlibat dalam pilihanraya di Mesir dan rakyat juga sudah tahu tentang dasar-dasar perjuangannya untuk menegakkan Islam di negara itu.

"Jadi apabila revolusi rakyat tercetus, rakyat dengan sendirinya akan memilih parti Ikhwan Muslimin dan parti Islam kerana hanya parti Islam sahajalah yang diyakini mampu memberikan perubahan ke arah yang lebih baik seperti yang diingini oleh mereka sendiri," tegasnya.


Presiden PAS Akur Keputusan Bertanding

Isu bahawa Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bakal menarik diri dari bertanding dalam pilihanraya akan datang diterima baik oleh pimpinan PAS sendiri. Walaupun begitu, PAS Pusat sebulat suara menolak hasrat Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk tidak bertanding dalam PRU 13 yang bakal menjelang.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu bahawa lujnah politik PAS telahpun mengadakan mesyuarat di Pejabat Agung PAS dan hasil daripada mensyuarat tersebut ialah hasrat Presiden PAS itu ditolak.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menerima baik keputusan tersebut dan akur.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menerima baik keputusan tersebut.

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga mengatakan dengan pengumuman ini, maka isu penarikan diri Presiden PAS tidak akan berbangkit lagi kerana melihat kewibawaan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai pemimpin dan beliau masih diperlukan untuk menerajui PR.

Tok Guru Nik Aziz sendiri selaku Mursyidul Am PAS mengatakan bahawa perjuangan Islam tidak mempunyai tempoh masa bahkan sepanjang hayat.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga mengatakan bahawa PAS yakin dengan karisma kepimpinan, kewibawaan & kedudukan Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk terus memimpin PAS. Gerakan Islam Antarabangsa turut memberikan kepercayaan kepada Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk menjadi pimpinan utama menghadapi sebarang kemelut negara-negara Islam. Hal ini melihatkan bahawa Tuan Guru Abdul Hadi Awang boleh dinobatkan sebagai pimpinan muslim agung abad ini.

Atas sifat tawaduk dan akhlak dirinya yang mulia, Tuan Guru Presiden menarik diri dari bertanding dalam PRU13 menunjukkan bahawa dalam PAS, jawatan itu bukanlah sesuatu yang ingin direbut tetapi ianya ialah amanah.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS Pusat
Tuan Ibrahim juga turut menjelaskan bahawa Islam mengajar agar kita tidak mengejar jawatan tetapi apabila kita masih diperlukan oleh jemaah untuk memimpin, kita tidak boleh melarikan diri.

PRU13 : Dakwat Kekal Belum Cukup

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika ditemubual
oleh wartawan New Straits Times di kediamannya di  Rusila 3 Februari 2012.

Pemerintah UMNO/BN yang bakal menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya akan datang (PRU13) dilihat sebagai perubahan yang belum dapat menjamin keadilan politik yang dituntut dalam Bersih 2.0.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengatakan bahawa antara perubahan terpenting yang perlu dilakukan ialah kebebasan media. Pihak pemerintah UMNO/BN harus memberikan ruang kebebasan kepada kedua-dua pihak yakni BN & PR dalam penggunaan media.

Media sepatutnya menjadi 'orang tengah' yang boleh dipercayai untuk menjadi penghubung parti dengan rakyat. Media elektronik arus perdana juga tidak sepatutnya masih berat sebelah dalam mengeluarkan berita & informasi. Media cetak juga harus diberi peranan yang seimbang mewakili kedua-dua pihak iaitu kerajaan & pembangkang.

Rakyat diibaratkan seperti hakim yang akan menilai berdasarkan apa yang didedahkan kepada mereka. Demokrasi barat kini yang sudah pun mengamalkan pendekatan feqah politik Islam. Peranan media haruslah adil dan bertindak sebagai saksi yang telus untuk memberi ruang kepada rakyat bertindak sebagai hakim membuat pemilihan berdasarkan konsep keadilan sejagat.