Isu pemecatan Hasan Ali yang pernah menjadi kontroversi hangat arena politik negara seolah-olah mengundang 'fenomena Hasan Ali' di media massa yang pro kepada kerajaan yang zalim dalam pentadbirannya.
Yang jernih itu diambil, yang keruh itu dibuang. Namun, jangan dibuang terus kerana tanpa mengetahui punca kekeruhan itu pastinya mengundang perkara yang sia-sia jika berulang kembali peristiwa sama.
Isu pemecatan Hasan Ali oleh PAS Pusat ialah berikutan tindakannya yang mempertikaikan dasar perjuangan PAS. Dasar perjuangan PAS itu bukanlah sekadar ayat biasa malah ia mempunyai kandungan yang penuh amanah. Dasar PAS itu perlu benar-benar difahami oleh para pendokongnya. Kesilapan boleh berlaku apabila kita tidak benar-benar memahami sesuatu dasar itu kemudian dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan berdasarkan pemikiran sendiri tanpa berbincang terlebih dahulu dengan pimpinan yang berada di atas. Itulah yang dilakukan oleh Datuk Hasan Ali, Exco Kerajaan Negeri Selangor.
PAS bukanlah sekadar parti politik malah merupakan suatu jemaah Islam yang bergerak memperjuangkan Islam secara syumul (keseluruhan) kepada seluruh rakyat Malaysia. Syura & wala' (taat) pada pimpinan merupakan antara intipati yang menjadi pelengkap perjuangan PAS.
Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Said bin Musayyab daripada Ali bin Abi Talib r.a berkata. Bermaksud: "Aku berkata dengan Rasulullah s.a.w apabila terjadi sesuatu perkara kepada kami sedangkan al-Quran tidak menerangkan tentang perkara tersebut, begitu juga al-Sunnah tidak menjelaskanya. Lalu Rasulullah s.a.w. menjawab;
اجمعوا له العالمين. او قال: العابدين من المؤمنين فاجعلوه شورى بينكم ولا تقضوا فيه براى واحد
Kumpulkanlah orang-orang yang alim di kalangan mukmin agar mereka bermesyuarat bersama kamu dan jangan sekall-kali kamu berhukum dengan satu pandangan sahaja.
Datuk Hasan Ali pernah meminta maaf kepada pimpinan PAS bersaksikan Tuan Guru Nik Aziz selaku Mursyidul Am PAS, Datuk Haron Din selaku Timbalan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS. Namun, kesalahan sama terus berulang apabila dirinya terus-terusan mengeluarkan kenyataan yang membelakangi kepentingan parti.
Sesiapa yang ingin masuk dan menjadi akh yang menyertai harakah, maka hendaklah menghormati sistem dan peraturan. Ini satu perkara yang mudah untuk difahami. Sesiapa saja yang menyertai mana-mana kelab, syarikat atau persatuan, dengan sendirinya tertakluk kepada peraturan dan sistem institusi tersebut. Jika ia tidak menghormati peraturan maka hukuman atau denda yang setimpal akan dikenakan. Bahkan ahli politik yang mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan idealisme dan pemikiran partinya akan berhadapan dengan tindakan jawatankuasa disiplin. Itulah antara pandangan Imam Hassan Al-Banna yang mengatakan bahawa kita wajib untuk menghormati sistem & peraturan yang ditetapkan dalam jemaah.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan