Rabu, 17 Ogos 2011

Larangan penggunaan PEMBESAR SUARA melaungkan ayat suci Al-Quran

PENGERUSI Kariah Masjid Padang Menora, Hamir Mahamud menunjukkan pekeliling JHEAIPP melarang bacaan al-Quran dengan menggunakan pembesar suara daripada masjid dan surau ketika ditemui di Padang Menora Tasek Gelugor, semalam.


Pulau Pinang yang diterajui oleh DAP dikatakan tidak mempunyai sensitiviti terhadap agama Islam.

"Ahmad Zahid, berkata tindakan melarang masjid dan surau menghentikan bacaan Al-Quran menggunakan pembesar suara pada subuh di negeri itu tidak akan berlaku jika kerajaan negeri Pulau Pinang sensitif terhadap agama Islam"




Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Hassan Ahmad

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Hassan Ahmad sendiri menegaskan larangan terhadap masjid atau surau di negeri itu menggunakan pembesar suara untuk bacaan al-Quran sebelum subuh adalah berlandaskan hukum syarak dengan nas-nas yang sahih.

Oleh itu katanya, tidak timbul isu kononnya larangan itu akan diperluaskan untuk melarang penggunaan pembesar suara untuk azan kerana larangan itu bukanlah satu fatwa.

Saya kesal atas kenyataan yang tidak profesional dan tidak berhemah daripada beberapa pihak termasuk menuduh kononnya Jawatankuasa Fatwa Negeri membuat keputusan secara melulu.

“Hal ini bukan isu politik tetapi ia arahan Nabi Muhammad s.a.w dan juga menjaga Islam yang harmoni,” katanya dipetik Bernama Online.

Hassan berkata larangan penggunaan pembesar suara itu adalah nasihat hukum, iaitu satu panduan tanpa mewartakannya dalam Enakmen Agama Islam negeri. Katanya, banyak pihak termasuk media massa telah menyalahtafsir arahan itu kerana tidak faham perbezaan antara nasihat hukum dan fatwa sehingga mengheret Majlis Fatwa Kebangsaan untuk turut terkeliru.

Hassan berkata, untuk mengeluarkan sesuatu fatwa, Majlis Fatwa Negeri perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 45 Enakmen Agama Islam Pulau Pinang 2004 tetapi dalam mengeluarkan arahan nasihat hukum, ianya tidak memerlukan perkenan Seri Paduka bagianda.

“Bagaimanapun, perkara itu (larangan penggunaan pembesar suara untuk bacaan Quran) mungkin dibincangkan dalam mesyuarat majlis fatwa akan datang bagi membuat keputusan sama ada ianya dijadikan fatwa atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata, dalam Islam sebenarnya terdapat dua azan subuh iaitu azan pertama ialah sebelum waktu subuh untuk mengejutkan orang ramai tetapi ianya tidak dipratikkan di negara ini bagi mengelak dari mengganggu orang ramai sebelum masuk waktu subuh.

Islam mensyariatkan tidak mengangkat suara dengan kuat kecuali untuk azan dan beberapa rutin ibadah lain seperti khutbah dan terdapat banyak nas yang melarang kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain kerana walaupun bacaan al-Quran dan zikir amatlah baik, kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan kita,” katanya.

Hassan berkata Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang telah mengeluarkan larangan itu kepada Jabatan hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang pada 12 Julai lepas kerana pentadbiran kariah adalah di bawah bidang kuasa jabatan itu. Katanya, beliau juga bersedia untuk bertemu dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi berbincang menangani isu itu.


Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat 

"Bagi saya, tidak munasabah Umno mahu ‘mencari balah’ dengan mufti dalam isu yang tidak ada kepentingan politik. Tapi nampaknya, sangkaan saya agak tersasar. Umno yang saya lihat sudah sampai saat kejatuhannya barangkali akan cuba berpaut dengan apa jua dahan untuk mengelakkannya daripada jatuh terhempas dan patah tulang," kata Mursyidul Am PAS dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

"Isu yang langsung tiada kaitan dengan kerajaan negeri dipolitikkan. Barangkali, jika tiba-tiba terjaga di tengah malam sekalipun, perkataan yang akan terpancul keluar ialah ‘DAP!’ Dalam isu ini, saya bukan menyokong kerajaan negeri Pulau Pinang, tetapi saya menyokong pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang. Buta maklumatkah golongan ini?" soal Menteri Besar Kelantan itu lagi.

Beliau juga membidas tindakan Umno yang seolah-olah mahu menjadi juara memperjuangkan isu agama, padahal pada masa yang sama merekalah yang meruntuhkan agama.

"Saya ingin bertanya kepada Umno, sejak bila mereka beria-ia mahu mempertahankan Islam ini? Sebelum tangan menggapai ke atas, lihat dahulu lantai berpijak.

"Apabila kerajaan Melaka melanjutkan tempoh pusat hiburan beberapa bulan lepas, tidak ada sebarang suara yang menentang daripada Umno," ujarnya lagi.

Ianya juga termasuk isu judi yang benar-benar dilarang oleh Islam namun Umno katanya seperti tidak mengendahkan larangan itu.
"Di Kelantan, kami disaman oleh MCA kerana menghalang premis judi daripada beroperasi dan kes ini sedang disebut di mahkamah. Saya tertanya-tanya, di mana perwira-perwira Umno dalam isu ini? Atau tiba-tiba keris telanjang Ketuanan Melayu menjadi tumpul bila berdepan dengan rakan-rakan di dalam Barisan Nasional?," soalnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata cara Umno mempersembahkan Islam pada hari ini, salah sehingga menggerunkan masyarakat bukan Islam sedangkan Islam itu indah dan rahmat kepada seluruh manusia.

Ia termasuklah isu bacaan al-Quran di pembesar suara sebelum solat Subuh yang bukanlah sesuatu yang diajar oleh Islam.

Menurutnya, jika ia terbukti menganggu dan ada aduan, maka sewajarnya Jawatankuasa Fatwa Negeri mengeluarkan pandangan.

Berbeza di Kelantan dengan kebanyakan masyarakatnya muslim, perkara tersebut mungkin tidak timbul sebagai satu masalah, tetapi di Pulau Pinang mungkin keadaannya berbeza. 

Jika terbukti tidak mengganggu, tidaklah menjadi halangan dan ia terpulang kepada keadaan setempat dan situasi semasa masyarakat.

"Saya menyeru kepada Umno, janganlah menjadi tukang solek yang menghodohkan wajah Islam. Islam tertegak di atas hujah, bukan di atas emosi. Apa jua isu, perdebatkan dengan ilmiah bukan dengan provokasi.

"Sayangnya, saya lihat Umno sangat cenderung untuk menjadikan sesuatu isu sebagai kontoversi kerana dengan talian hayat inilah mereka bernyawa. Hakikatnya, isu perkauman dan pertembungan agama ini sengaja ditimbulkan untuk mengeruhkan suasana.

"Umno mengharapkan dengan kekeruhan ini, mereka mampu muncul sebagai juara. Mereka lupa, hasil kerja tangan mereka ini bakal menjadikan suasana lebih tidak tenteram dan menjauhkan masyarakat daripada Islam," katanya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan